Tuesday, July 22, 2008

PROGRAM MASJID TARIK BELIA BERTATU PULANG KE PANGKAL JALAN

BUANG tatu hanyalah satu aspek program untuk menarik belia yang terlibat dalam kegiatan memakai tatu pulang ke pangkal jalan.

Lebih penting lagi ialah program 'Mudik ke Hulu' yang dirintis oleh Masjid Tentera Diraja itu bertujuan meniup angin perubahan pada diri mereka yang terlibat.

Imam Eksekutif masjid tersebut, Ustaz Harunarrashid Zainudin, berkata:

'Memang membuang tatu itu menjadi harapan kami kepada mereka yang mahu berbuat demikian. Alhamdulillah sekurang-kurangnya mereka sudah mula sedar atas kesilapan yang dilakukan.

'Tetapi, yang lebih penting ialah langkah selanjutnya iaitu menarik mereka ke jalan yang diredai Allah seperti menggalak mereka belajar agama, mendekatkan diri kepada kegiatan masjid dan memulakan hidup baru.'

Menurut Ustaz Harunarrashid, membuang tatu memang mengambil masa agak panjang dan mahal lebih-lebih lagi tatu yang bersaiz besar.

Oleh itu, agak sukar bagi golongan yang mahu 'cuci tangan' tambahan pula jika tatu di tubuh mereka belum dibuang sepenuhnya.

'Tetapi, kami galakkan mereka agar mengenakan pakaian yang menutup tatu di badan agar tidak menimbulkan fitnah atau salah anggapan,' ujar beliau.

Ustaz Harunarrashid berkata usaha pihaknya telah menampakkan hasil dengan penglibatan belia yang mahu dan telah membuang tatu dalam kegiatan anjuran masjid.

Ini termasuklah dalam acara sukan antara masjid-masjid baru-baru ini, acara korban tahun lalu dan pengagihan bubur pada Ramadan yang akan datang.

'Kami juga melibatkan ibu bapa atau anggota keluarga mereka mengenai masalah memakai tatu dari sudut agama.

'Ini penting kerana merekalah yang selalu bersama dan mendidik anak-anak,' jelas Ustaz Harunarrashid.

Pihaknya merancang untuk meluaskan program 'Mudik ke Hulu' dengan melibatkan lebih banyak masjid untuk sama-sama menarik lebih ramai belia bertatu pulang ke pangkal jalan.

source: cyberita
Singapura : 21 Julai 2008

No comments: