Monday, July 7, 2008

Singapura : 7 Julai 2008

NOVEL CINTA YANG BENAR-BENAR BERKISAR CINTA DIREDAI ISLAM

TERDAPAT banyak novel di pasaran yang mempunyai tema cinta tetapi sebahagian besarnya tidak memaparkan cinta sebenar - ia lebih berkisar kepada nafsu semata.

Atas kesedaran itulah timbul keinginan untuk melahirkan novel yang bertemakan cinta seperti yang dimuliakan Islam.

Maka lahirlah novel popular Ayat-Ayat Cinta yang bukan hanya sebuah karya bestseller bahkan dianggap pengkritik sebagai berjaya menghidupkan kembali zaman kegemilangan novel-novel bertemakan Islam.

Penulis novel itu, Encik Habiburrahman El-Shirazy, telah berkongsi motivasi dan pengalaman hidup yang mencorak penulisannya di sesi Sembang bersama... di Kelab Masyarakat Eunos semalam.

Sesi anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Eunos dan Persatuan Wanita dan Teruna (Perwanit) itu merupakan aktiviti terbaru sempena sambutan Bulan Bahasa tahun ini.

'Kita lihat apa yang banyak diketengahkan novel-novel cinta bukanlah cinta yang bertanggungjawab tetapi nafsu yang dikatakan sebagai cinta.

'Cinta amat dimuliakan oleh Islam. Oleh itu, saya ingin menulis karya alternatif yang memaparkan cinta sebenar yang pastinya membawa kepada kebaikan di dunia mahupun di akhirat,' kata Encik Habiburrahman, seorang warga Indonesia dan lulusan Universiti Al-Azhar.

Jualan novel tersebut telah mencecah lebih sejuta naskhah dan telah juga dijadikan filem.

Dikenali juga sebagai seorang pendakwah, Encik Habiburrahman, 32 tahun, telah menghasilkan beberapa novel popular lain seperti Ketika Cinta Bertasbih dan Di Atas Sejadah Cinta.

Beliau kini sedang menulis novel susulan kepada Ayat-Ayat Cinta manakala novel Ketika Cinta Bertasbih kini sedang menjalani penggambaran filem.

from:cyberita

No comments: