Friday, August 1, 2008

MUSLIM, PR JADI PENGIKRAR ORGAN AUTOMATIK

MULAI hari ini, orang Islam dan Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia antara 21 dengan 60 tahun secara automatik menjadi pengikrar organ kecuali mereka telah mengecualikan diri secara bertulis semasa hidup.

Ini kerana mulai hari ini orang Islam dan PR disertakan di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota), yang menetapkan empat organ - ginjal, hati, jantung dan kornea mata - boleh diambil secara automatik daripada warga Singapura yang telah meninggal dunia kecuali mereka telah mengecualikan diri secara bertulis.

Langkah menyertakan orang Islam dan PR di bawah Hota bermakna pesakit yang memerlukan ginjal, hati, jantung atau kornea mata untuk hidup seperti biasa akan mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapatkan organ-organ itu.

Antara Mac hingga Mei lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengirim pakej buku penerangan ke rumah sekitar 340,000 orang Islam dan PR untuk menerangkan tentang pelaksanaan Hota dan pendermaan organ.

Penyertaan orang Islam dibuat setelah Jawatankuasa Fatwa Muis mengeluarkan fatwa membenarkan penyertaan Muslim dalam Hota pada Julai tahun lalu.

Fatwa itu membolehkan organ tubuh sesuai diambil daripada seseorang apabila beliau meninggal dunia kecuali beliau telah memilih untuk tidak membenarkannya.

Sebelum ini, orang Islam dikecualikan daripada Hota tetapi boleh mengikrarkan organ mereka.

Langkah menyertakan Muslim di bawah Hota dibuat kerana jumlah pesakit ginjal Melayu baru bertambah sebanyak 19 peratus pada 2000 kepada 22 peratus pada 2006, dengan penyakit kencing manis menjadi punca utama kerosakan ginjal.

Orang Melayu membentuk sekitar 21 peratus pesakit yang sedang menunggu pemindahan ginjal walaupun kaum Melayu membentuk hanya 13 peratus jumlah warga Singapura.

Antara mereka yang menyambut baik langkah itu adalah Cik Nurlieja Onnawaty Masat, 26 tahun, seorang pembantu penyelidikan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

'Jika orang berlainan bangsa dan agama boleh membantu masyarakat secara amnya, mengapa tidak orang Melayu/Islam Singapura?

'Ia adalah suatu langkah bagi menyahut keperluan masyarakat yang lebih meruncing,' kata beliau.

Namun, ada juga sebilangan kecil orang Islam yang telah meminta dikecualikan daripada Hota, seperti seorang pembantu khidmat penghantaran yang mengenalkan dirinya sebagai 'Encik Ahmad'.

'Walaupun jawatankuasa fatwa telah membenarkan, saya lebih senang meninggal dunia dalam keadaan jasad yang lengkap,' ujar beliau, yang berusia 29 tahun.


source:berita harian

No comments: